Zain buang ego demi perniagaan

0
60


Oleh Hidayah Mohammad

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pengalaman berniaga biskut raya di Jalan Masjid India, di sini, sebelum mencipta nama sebagai pelakon, kira-kira 12 tahun lalu menjadi bekalan kepada Zain Saidin, 33, untuk terus serius dalam perniagaan.

Menyifatkan ia antara pengalaman terindah dalam hidupnya, Zain bagaimanapun mengakui ketika itu dirinya tidak begitu serius dengan apa yang dilakukan kerana produk yang dijual bukan miliknya.

“Saya seronok menjual biskut raya waktu itu. Meskipun banyak pesaing dan harga biskut yang dijual agak mahal kerana menggunakan ramuan berkualiti, ia tetap mendapat sambutan pelanggan. Ketika itu, saya sanggup menjerit memanggil pelanggan untuk mendapatkan biskut yang dijual.

“Puas rasanya apabila biskut yang saya jual dibeli dan dinikmati pelanggan. Pengalaman itu juga menjadi pendorong utama yang menarik minat saya untuk kembali serius berniaga biarpun sudah mencipta nama selesa sebagai selebriti,” katanya.

Suami kepada pelakon dan pengacara jelita, Rozita Che Wan itu tidak menafikan, pernah melakukan kesilapan sepanjang menceburi dunia perniagaan.

Semua itu baginya, dijadikan sebagai pengajaran yang mematangkan langkahnya dalam bidang terbabit.

Zain juga sanggup membuang ego yang menebal dalam dirinya kerana percaya, sifat negatif itu akan membuatkan perniagaan yang dijalankan tidak mampu pergi jauh.

“Dulu saya anggap menggunakan nama sendiri sebagai selebriti sudah cukup kuat untuk memberi keuntungan dan melariskan produk. Saya ego apabila berasakan tidak perlu merancang sebarang strategi pemasaran kerana nama sudah kuat.

“Saya tidak kisah langsung mengenainya. Lama-kelamaan, saya sedar, apabila berniaga tanpa perancangan rapi terutama dalam sudut pengiklanan dan pemasaran, kita tidak akan ke mana. Selepas mendalami ilmu perniagaan dengan beberapa usahawan berjaya, saya buang semua ego dalam diri,” katanya.

Pemilik jenama sepatu Zapatos Style itu berkata, selepas mengetahui selok belok berniaga dengan betul, dirinya menemui kepuasan sebenar yang dicari.

Zain juga tidak lagi kekok untuk turun padang menjual dan bertemu pelanggan, biarpun memiliki kakitangan yang mampu melakukannya.

“Saya puas hati, malah berada diri dihargai apabila berpeluang berhubung terus dengan pelanggan. Secara tidak langsung, mereka seronok dapat berjumpa saya dan keluarga,” katanya yang mengeluarkan lebih 3,000 sepatu dan 500 pasang baju Melayu untuk jualan sempena Hari Raya tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here