Zizan Razak tak sangka PM Najib Razak muat naik foto di Instagram

0
19

PELAWAK popular Zizan Razak sama sekali tidak menyangka Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak memuat naik fotonya melentokkan kepala ke bahu pemimpin negara itu di laman sosial Instagram (IG).

Foto tersebut dirakam ketika Zizan menerima Anugerah Ikon Media Sosial 2017 daripada PM Najib di Minggu Media Sosial Malaysia 2017, semalam (Rabu).

Zizan ketika dihubungi Astro Gempak berkata, dia tidak menjangkakan anugerah tersebut bakal disampaikan oleh Perdana Menteri.

“Saya terharu menerima anugerah daripada tangan PM. Saya melentokkan kepala ke bahu PM kerana tidak tahu untuk menggambarkan betapa terujanya saya ketika itu.

“Tapi, saya tidak sangka yang PM kita orang yang sangat ‘sporting’! Beliau turut melentokkan kepala kepada saya.

“Momen malam ini tidak akan saya lupakan kerana ia sangat berharga buat diri saya, apatah lagi PM memuat naik foto kami di IGnya,” katanya.
 

Dalam pada itu, Zizan yang ketika ini mempunyai 4.4 juta pengikut di IG turut berterima kasih kepada semua yang telah menyokongnya selama ini.

“Terima kasih kepada semua pengikut saya di IG, terutama peminat yang sering memberikan semangat dan sokongan sehingga saya berada di tempat saya sekarang,” ujarnya.

Sementara itu, PM turut dianugerahkan Anugerah Kepimpinan Global pada majlis anjuran Dewan Sosial Media Malaysia itu.

Anugerah tersebut disampaikan Pengasas dan Presiden Dewan Sosial Media Malaysia, Shahul Dawood Hameed sebagai penghargaan kepada beliau yang menggerakkan industri digital Malaysia dengan pelbagai inisiatif serta kerjasama di peringkat global.

Selain itu, Shahul dalam ucapannya turut menyifatkan penglibatan aktif Perdana Menteri dalam media sosial menjadikan beliau sebagai role model penting kepimpinan masa kini.

Setakat ini Najib Razak mempunyai 337,000 pengikut di Instagram, 3.3 juta pengikut di Facebook dan 3.8juta pengikut di Twitter.

Beliau mula menggunakan Twitter sejak September 2007 ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi menyampaikan maklumat serta kenyataan media.
 
Bagi platform Instagram, beliau mula aktif sejak Mac 2013 sebagai tempat berkongsi aktiviti di sebalik tabir.

Foto/Video: Instagram Najib Tun Razak & Zizan Razak

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here